Wednesday, January 13, 2010

Aktiviti 4: Proses Berfikir Kreatif

Tajuk : Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Tahun : 2002
Muka surat : 109

UNIT 3:

Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Kemahiran berfikir kritis ialah kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan bersifat evaluatif. Manakala kemahiran berfikir kreatif ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea asli dan bersifat generatif.

Bagi kemahiran berfikir secara kritis, ia dapat dikelaskan kepada beberapa bahagian mengikut hierarki keutamaannya iaitu:
  1. Mencirikan
  2. Membandingkan dan membezakan
  3. Mengumpul dan mengelaskan
  4. Membuat urutan
  5. Menyusun mengikut keutamaan
  6. Menganalisis
  7. Mengesan kecondongan
  8. Menilai
  9. Membuat kesimpulan

Berikut akan dijelaskan setiap kemahiran berfikir secara kritis beserta contohnya:


1. Mencirikan

Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek. Kemahiran ini akan digunakan untuk mendefinisikan konsep atau item, dan mengenali antara konsep atau item yang hampir serupa.

Langkah-langkah yang terlibat:
  • Lukiskan satu bulatan.
  • Tuliskan tajuk bagi konsep atau item dalam bulatan.
  • Lukiskan satu garisan yang memancar keluar daripada bulatan.
  • Tuliskan satu ciri yang ada pada konsep atau item pada hujung garisan.
  • Ulangi dengan melukis garisan lain untuk ciri yang lain.

Contoh:

Dengan menyenaraikan ciri-ciri atau spesifikasi yang terdapat pada sesebuah komputer. Bagi membantu memudahkan proses mencirikan, satu gambarajah yang berbentuk peta minda boleh dilakarkan dan digunakan supaya idea yang ingin ditunjukkan dapat disampaikan.



2. Membanding dan Membezakan

Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa. Kemahiran ini digunakan apabila terdapatnya dua atau lebih ciri atau kemungkinan dan semasa membuat pilihan atau keputusan.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Perhatikan dan berikan tumpuan kepada satu atau beberapa objek.
  • Kenal pasti satu daripada ciri objek itu.
  • Tentukan sama ada objek yang lain mempunyai ciri yang sama.
  • Nyatakan ciri itu sama atau berbeza.

Contoh:
Dengan membanding dan membezakan antara komputer riba (labtop) dan notebook. Kemudian senaraikan persamaan dan perbezaan antara kedua-dua jenis komputer jenis labtop dan notebook ini.

Seterusnya gunakan gambar rajah Venn seperti yang ditunjukkan dalam seperti dibawah bagi membuat perbandingan dan perbezaan. Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Lukis dua bulatan yang bertindih.
  • Rekodkan ciri Labtop dalam bulatan Pertama.
  • Rekodkan ciri Notebook dalam bulatan Kedua.
  • Jika ciri Labtop sama dengan Notebook, rekod ciri dalam kawasan bertindih antara dua bulatan.




3. Mengumpul dan mengelaskan

Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing adalah berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya. Kemahiran ini digunakan apabila terdapat banyak item atau maklumat dan item atau maklumat tersebut tidak tersusun.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Kenal pasti ciri umum sekumpulan item.
  • Beri nama kepada kumpulan item itu.
  • Kenal pasti ciri lain.
  • Masukkan item berciri sama ke dalam kumpulan yang lebih kecil.
  • Ulangi langkah di atas sehingga semua item dapat dikumpulkan dalam suatu kumpulan.

Contoh:
Dengan diberikan item-item seperti berikut:
papan kekunci (keyboard), Tetikus (Mouse), Mikrofon, Scanner, Speaker , Monitor, Printer, mesin Fax.

Kemudian kelaskan item-item tersebut dengan menggunakan carta organisasi seperti berikut:




4. Membuat urutan

Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti atau kuantiti ciri atau sifatnya seperti saiz, masa, bentuk atau bilangan. Kemahiran ini digunakan untuk menyusun item atau maklumat supaya mudah difahami dan item tertentu mudah dikesan.

Untuk langkah-langkah penggunaannya adalah seperti berikut:
  • Tentukan jenis susunan untuk digunakan sama ada mengikut saiz, nilai, abjad, kronologi, corak atau masa.
  • Ambil satu item sebagai asas.
  • Ambil item yang lain dan susunkan secara menaik atau menurun berdasarkan jenis susunan yang ditentukan.
  • Semak semula susunan.

Contoh:
Disenaraikan proses-proses atau langkah-langkah untuk pemasangan Perkongsian Pencetak (Sharing Printer). Rentetan kerja hendaklah dilakukan daripada senarai kerja tersebut.

Antara langkah-langkah yang terlibat semasa proses membuat urutan ialah seperti berikut:
  • Imbas kembali semua langkah.
  • Pilih satu langkah sebagai permulaan.
  • Imbas kembali langkah yang seterusnya.
  • Pilih satu langkah yang lain.
  • Bandingkan langkah yang dipilih dengan langkah pertama.
  • Letakkan langkah itu di hadapan jika langkah itu lebih awal atau di belakang jika ia langkah yang terkemudian.
  • Ulangi aktiviti di atas sehingga semua langkah telah disusun.


5. Menyusun mengikut keutamaan

Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan. Kemahiran ini digunakan untuk menonjolkan perkara yang mustahak atau penting dan menentukan tindakan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Langkah-langkah pengunaannya adalah seperti berikut:
  • Tentukan matlamat anda.
  • Ambil satu item sebagai asas.
  • Ambil item yang lain dan bandingkan dengan item asas sama ada lebih dekat atau lebih jauh kepada matlamat.
  • Jika lebih dekat kepada matlamat letakkan di atas item asas, jika tidak letakkan di bawah.
  • Ulangi langkah di atas bagi item yang lain, satu demi satu.

Kita boleh gunakan tangga hierarki seperti yang ditunjukkan dibawah untuk menyusun item mengikut keutamaan.

a) Lukiskan beberapa anak tangga.
b) Tuliskan item yang paling penting pada anak tangga paling atas
c) Tuliskan item lain yang kurang penting pada anak tangga di bawahnya.
d) Ulangi sehingga item yang paling tidak penting pada anak tangga yang paling bawah.

Contoh:
Diberikan senarai beberapa item:
komputer, telefon bimbit, radio, perakam video, printer dan televisyen. Susun item tersebut mengikut keutamaan penggunaan alat elektrik di rumah.


6. Menganalisis

Mengolah maklumat dengan menghuraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat. Kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubung kait antara bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat. Menganalisis ialah suatu kemahiran yang kompleks menggunakan beberapa ciri kemahiran berfikir.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Tentukan pendapat atau kenyataan.
  • Cari andaian yang tersirat, huraikannya kepada ciri yang lebih terperinci.
  • Renung semula pendapat atau andaian.
  • Buat pernyataan yang telah diperbaiki dengan sokongan fakta.

Contoh :
Buat analisis bagi kenyataan yang berikut:
"Komputer berinternet adalah penting kepada kehidupan".

Untuk menganalisis kita perlu:
a) Menentukan pendapat atau kenyataan:
Komputer berinternet adalah penting kepada kehidupan.

b) Huraikan andaian yang tersirat "penting kepada kehidupan" dari segi komputer berinternet:
  • Menyampaikan maklumat.
  • Berunsurkan pendidikan.
  • Boleh mengisi masa lapang.
  • Memberi hiburan.

c) Membuat kenyataan yang telah diperbaiki :
Komputer berinternet adalah penting Kepada kehidupan kerana komputer berinternet dapat menyampaikan maklumat umum yang berunsurkan pendidikan, boleh mengisi masa lapang dan memberi hiburan.


7. Mengesan kecondongan

Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak kepada sesuatu atau menentang sesuatu. Kemahiran ini digunakan apabila terdapat sesuatu pernyataan yang cuba mempengaruhi keputusan atau pendapat seseorang, atau menimbangkan ketepatan sesuatu sumber maklumat atau pernyataan, atau mengenal pasti kecondongan pandangan seseorang.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:

a) Nyatakan matlamat.
b) Kenal pasti jenis petunjuk kecondongan:
  • Kenyataan yang berbentuk emosi atau bermuslihat.
  • Pengitlakan yang keterlaluan.
  • Soalan retorik (soalan yang bersifat mempengaruhi atau memukau dan bermuslihat).
  • Persembahan atau penyampaian yang berat sebelah.
  • Menyatakan pendapat sebagai fakta.

c) Analisis maklumat secara terperinci untuk mendapatkan petunjuk.
d) Padankan pernyataan yang berunsur kecondongan dalam petikan dengan jenis petunjuk.
e) Buat penilaian sejauh manakah kecondongan berlaku.

Prasyarat: Pengetahuan tentang:

a) Petunjuk atau kriteria kepada kecondongan.
b) Isi kandungan pernyataan yang dianalisis.

Contoh:
Pelajar dikehendaki mengesan kecondongan dalam petikan iklan semasa promosi jualan komputer, komputer riba (labtop), netbook dan perkakasan komputer lain semasa PC Fair sedang berlangsung.


8. Menilai

Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara daripada segi kebaikan dan keburukan berdasarkan bukti atau dalil yang sah. Kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan bagi memilih sesuatu, dan menerima atau menolak sesuatu idea.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Perhatikan idea atau pilihan.
  • Senaraikan ciri positif (kebaikan).
  • Senaraikan ciri negatif (kelemahan).
  • Beri wajaran kepada setiap ciri.
  • Bandingkan wajaran secara keseluruhan.

Contoh:
Semasa ingin membuat permohonan agar dipasangkan talian telefon tetap, mereka memberikan pilihan sama ada ingin menyambung talian internet atau talian telefon sahaja kerana promosi pada waktu itu dilakukan secara besar-besaran. Adakah ingin menerima atau menolak permintaan tersebut?

Kita boleh menggunakan Carta T untuk membantu kita menilai dan seterusnya membuat keputusan.


9. Membuat kesimpulan

Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan. Kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan, menerangkan sesuatu, meramal dan menyokong pernyataan.

Langkah penggunaannya adalah seperti berikut:
  • Kumpulkan maklumat (misalnya daripada eksperimen atau kajian).
  • Susun semula maklumat dalam urutan yang logik.
  • Analisis maklumat dan buat gambaran mental untuk mendapatkan sesuatu corak perhubungan.
  • Buat pernyataan kesimpulan dengan sokongan bukti yang ada.



UNIT 4:

Bagi kemahiran berfikir secara kreatif, ia dapat dikelaskan kepada beberapa bahagian mengikut hierarki keutamaannya iaitu:
  1. Menjanakan idea
  2. Membuat inferens
  3. Menghubung kaitkan
  4. Meramal
  5. Mebuat Hipotesis
  6. Mensintesis
  7. Mengitlak
  8. Menganalogi
  9. Membuat Gambaran Mental
  10. Mereka Cipta


Berikut akan dijelaskan setiap kemahiran berfikir secara kreatif beserta contohnya:


1. Menjanakan Idea

Menjanakan idea yang banyak secara spontan berkaitan dengan sesuatu perkara. Kemahiran ini digunakan apabila mencari idea baru dan mencari alternatif.

Langkah penggunaannya adalah seperti berikut:
  • Tetapkan tajuk perbincangan.
  • Senaraikan semua idea yang dikemukakan.
  • Renung kembali idea yang dikemukakan.
  • Tambah lagi idea yang boleh difikirkan.
  • Hubung kaitkan idea-idea yang telah disumbangkan.

Contoh:
Di sekolah terdapat banyak bahan buangan pepejal. Bagi memupuk minat mereka, satu permainan berkomputer (game) perlu dibangunkan suapaya pelajar-pelajarnya akan lebih didedahkan dengan konsep kitar semula serta memahami tujuannya secara mendalam seterusnya terus menyokong program ini memandangkan pelajar-pelajar masa kini lebih cenderung kepada permainan berkomputer yang interaktif.


2. Membuat Inferens

Membuat kesimpulan awal yang mungkin benar atau pun tidak berdasarkan maklumat daripada pemerhatian. Kemahiran ini digunakan apabila menganalisis sebab dan akibat keputusan atau kesan atau pun hendak merancang langkah-langkah tindakan atau membuat pilihan.

Langkah-langkah yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Perhatikan suatu situasi atau keadaan.
  • Nyatakan mengapa situasi atau keadaan sedemikian terjadi.
  • Beri alasan mengapa anda menyatakan demikian.
  • Semak alasan samada alasan itu berasaskan pendapat atau pemerhatian daripada situasi. Jika alasan itu berasaskan pendapat atau pandangan, berikan alasan.

Contoh:
Semasa membuat sesuatu kod program pengaturcaraan, apabila sesuatu syntax baru ditambah dan menghasilkan error atau kesalahan sedangkan syntax tersebut telah digunakan sebelum ini.

Maka inferens yang dapat diperoleh daripada situasi ini adalah seperti berikut:

a) Buat pemerhatian:
Semasa membuat sesuatu kod program pengaturcaraan, apabila sesuatu syntax baru ditambah sedangkan syntax tersebut telah digunakan sebelum ini.

b) Beri alasan:
Menghasilkan error atau kesalahan.

c) Inferens:
Walaupun syntax yang sama diulang, ia tidak semestinya tepat. Kadang-kadang tersilap sedikit ejaan pun sudah menjadi kesalahan.



3. Menghubung kaitkan

Membuat perkaitan untuk mencari sesuatu struktur atau corak perhubungan. Kemahiran ini digunakan untuk membuat inferens, meramal, membuat hipotesis, membuat kesimpulan dan mengitlak.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:
  • Kenal pasti masalah.
  • Buat analisis tentang keadaan.
  • Kenal pasti aspek yang boleh dihubung kaitkan
  • Buat pernyataan tentang perkaitan.

Contoh:
Apabila kita membeli sesebuah komputer yang baru, tahap kelajuannya adalah berbeza setelah kita menggunakan komputer tersebut beberapa tahun kemudiannya. Perbezaan yang ketara contohnya semasa baru digunakan memerlukan masa selama 1 minit untuk menghidupkan komputer tersebut, namun setelah beberapa tahun komputer tersebut digunakan, masa yang diperlukan lebih kurang 10 minit dan kadang-kadang terdapat gangguan lain seperti komputer tersebut restart secara sendirinya.

Seterusnya Pohon Fikiran boleh dibentuk untuk tujuan menghubung kait dan langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

a) Kenal pasti masalah.
b) Tuliskan masalah di bawah sekali.
c) Kenal pasti kemungkinan sebab.
d) Tuliskan inferens sebab mengikut urutan.
e) Ulangi untuk sebab-sebab yang lain.


Pohon Fikiran


4. Meramal

Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh dipercayai. Kemahiran ini digunakan untuk menjuruskan, merancang dan mempertimbangkan pilihan.

Langkah penggunaannya adalah seperti berikut:
  • Perhati atau kumpul maklumat.
  • Tentukan pola yang terdapat pada kumpulan maklumat.
  • Buat jangkaan yang paling sesuai.

Contoh: Ramalkan apa yang akan berlaku sekirannya semua pelajar-pelajar telah didedahkan kepada pengaturcaraan komputer.

a) Kumpulkan maklumat:
Ramai yang akan terdedah ke bidang pengaturcaraan komputer kerana saban hari teknologi canggih dicipta bagi memudahkan manusia.

b) Tentukaan pola yang terdapat pada kumpulan maklumat:
Banyak teknologi kini berkembang bagi menggantikan teknologi sedia ada dan teknologi lama.

c) Buat jangkaan yang paling sesuai:
Apabila semakin ramai yang mengetahui pengaturcaraan, maka pengaturcara-pengaturcara komputer akan kehilangan kerja kerana syarikat-syarikat tidak memerlukan pekerja yang ramai memadai dengan adanya software-software dan teknologi yang canggih.




5. Membuat Hipotesis

Membuat pernyataan umum yang menghubungkaitkan pembolehubah-pembolehubah bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Kenyataan ini boleh diuji untuk membuktikan kesahihannya. Kemahiran ini digunakan pada peringkat awal apabila hendak menjalankan sesuatu eksperimen, kajian atau penyelidikan.

Langkah penggunaan yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Perhatikan suatu situasi atau keadaan.
  • Nyatakan mengapa situasi atau keadaan sedemikian terjadi.
  • Berikan satu jawapan yang rasional sebagai hipotesis.
  • Semak semula sama ada hipotesis tersebut boleh diuji.


6. Mensintesis

Menggabungkan idea, unsur, item dan perkara yang berasingan untuk menghasilkan
gambaran yang menyeluruh dalam bentuk pernyataan , esei, lukisan dan artifak.

Kemahiran ini digunakan untuk membuat kesimpulan, mengitlak atau menyediakan tajuk. Kemahiran ini juga digunakan bagi menghasilkan bentuk komunikasi seperti lukisan, peta, rajah, puisi dan laporan.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:
  • Kenal pasti dan definisikan tajuk, perkara atau subjek.
  • Kumpulkan data atau maklumat yang berkaitan.
  • Kelaskan idea, data atau maklumat dalam kategori yang berkaitan dengan tajuk, perkara atau subjek.
  • Kenal pasti hubung kait antara kategori dengan kategori, kategori dengan tajuk.

Contoh: Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku semasa penghasilan awal komputer seterusnya sampai terciptanya komputer sedia ada masa kini.

a) Minta pelajar senaraikan beberapa jenis komputer.
b) Hubung kaitkan antara komputer.
c) Susun atur penciptaan komputer mengikut garisan masa.
d) Gabungkan komputer-komputer mengikut rentetan masa dalam bentuk esei yang membawa kepada terciptanya pelbagai alatan canggih yang ada pada masa kini.


7. Mengitlak

Membuat pernyataan umum terhadap keseluruhan kumpulan maklumat berdasarkan pemerhatian ke atas sampel kumpulan itu. Kemahiran ini digunakan untuk mencari pola, menyusun maklumat dan meramal.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:
  • Kumpulkan data.
  • Cari pola yang sepunya dan buatkan pengitlakan.
  • Imbas semula kesahihan pengitlakan yang dibuat.
  • Buat kenyataan.

Contoh: Membuat pengitlakan antara fungsi yang terdapat pada telefon bimbit, PDA dan komputer.

Untuk mengitlak, kita perlu:
a) Mengumpul data seperti dalam gambarajah diatas.
b) Mencari pola yang sama:
Fungsi yang terdapat pada telefon, PDA dan komputer.
c) Buat pengitlakan:
Ketiga-tiga perkakasan elektronik ini ada sambungan internet dan rakaman suara.


8. Menganalogi

Membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep secara mengaitkan konsep itu dengan perkara yang mudah, maujud dan mempunyai ciri yang serupa. Kemahiran ini digunakan untuk memahami konsep atau perkara yang mujarat dengan cara mengaitkannya dengan sesuatu yang maujud yang telah diketahui.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:
  • Bandingkan dua perkara yang tidak sama.
  • Cari sifat yang serupa yang boleh dihubung kaitkan.
  • Nyatakan hubung kait sebagai metafora.

Contoh: Membuat analogi mengenai fungsi komputer yang membantu kita menjalankan tugas-tugas seharian.

Untuk menganalogi kita perlu:

a) Buat perbandingan : manusia dengan komputer
b) Cari sifat yang serupa : Kedua-dua mempunyai ingatan
c) Nyatakan hubung kait : komputer adalah seperti otak manusia.



9. Membuat Gambaran Mental

Membuat tanggapan atau membayangkan sesuatu idea, konsep, keadaan atau gagasan dalam minda atau fikiran. Kemahiran ini digunakan untuk memahami konsep yang mujarad dan mengingat konsep yang kompleks.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:
  • Bayangkan matlamat tertentu.
  • Pilih atau tetapkan titik permulaan secara mental.
  • Bayangkan langkah demi langkah yang berlaku ke arah matlamat.
  • Lihat keseluruhan gambaran.

Untuk membuat gambaran mental kita perlu :
a) Bayangkan matlamat:
Keadaan apabila berlaku gempa bumi.

b) Menetapkan titik permulaan:
Keadaan sebelum berlaku gempa bumi.

c) Bayangkan langkah demi langkah ke arah matlamat:
Apakah yang terjadi kepada bangunan, lif, bekalan elektrik, jalan raya? Bagaimanakah keadaan manusia dan seterusnya?

d) Bina satu senario keseluruhan .


10. Mereka Cipta

Menghasilkan sesuatu yang baru atau melakukan pengubahsuaian kepada sesuatu yang sedia ada dalam bentuk maujud atau mujarad.

Langkah penggunaan adalah seperti berikut:

  • Kenal pasti keperluan, cabaran atau persoalan.
  • Janakan idea.
  • Pilih idea yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan.
  • Mencuba dan menguji idea.
  • Jika tidak memenuhi keperluan, ubah suai atau pilih idea yang lain.

Contoh 1 : (maujud)
Cadangkan aksesori komputer yang boleh dipasarkan.

Contoh 2 : (mujarad)
Hasilkan sebuah sajak bertemakan bahasa pengaturcaraan.

Contoh 3 : (mujarad)
Cadangkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk pengajaran Pendidikan Komputer.

Untuk mereka cipta kita perlu :

a) Kenal pasti cabaran: Menghasilkan aksesori khusus untuk komputer
b) Menjanakan idea:
  • Membuat Skin komputer
  • Membuat rekaan kartun-kartun
  • Membuat Cooler
  • Membuat Lampu Komputer

c) Menjanakan idea khusus: Membuat Skin komputer yang berbagai-bagai corak
d) Pilih satu reka bentuk
e) Membina, mencuba dan menguji.
f) Ulangi langkah-langkah.


1 comment:

Amirul Hakim Nazaruddin said...

terima kasih untuk info yang berguna

Post a Comment