Thursday, May 6, 2010

PEMIKIRAN VISUAL, LITERASI VISUAL, MEDIA, MULTIMEDIA, & MAKLUMAT

A. AKTIVITI 1: PEMIKIRAN VISUAL

a) Dapatkan tiga definisi Pemikiran Visual ( Visual thinking) dari literatur

i) Menurut Zhukovskiy V. I. & Pivovarov D. V. (2008), pemikiran visual merupakan salah satu bentuk pemikiran yang tidak verbal (hasil buah fikiran yang tidak mampu ditakrifkan dengan tepat melalui kata-kata) yang membolehkan sesorang individu melihat sesuatu yang berbentuk abstrak dan kemudiannya menjadi suatu terjemahan yang bersifat ilmiah.


ii) Sword L.K. (2005), mendefinisikan pemikiran visual menggunakan gambar, warna, unsur-unsr abstrak, gambarajah dan sebagainya. Maklumat yang saling berkaitan akan diperolehi daripada pemerhatian ke atas sesuatu gambar atau visual.


iii) Mike Bradshaw (2002) membuat takrifan pemikiran visual dari perspektif pembelajaran lukisan yang meletakkan definisi pemikiran visual ialah satu proses mengambil konsep visual menjadi hasil berbentuk fizikal dan terjemahannya melalui lukisan.



b) Kemukakan sintesis dari definisi-definisi berkenaan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran komputer.


i. Pemikiran visual merupakan satu corak pemikiran yang dirangsang melalui pemerhatian ke atas sesuatu visual


ii. Pelajar akan membuat tafsiran masing-masing terhadap gambaran yang diberikan kepada mereka berdasarkan apa yang mereka ketahui dan lalui.


iii. Mesej-mesej yang disampaikan oleh visual tersebut akan cuba ditafsirkan oleh pelajar dan lazimnya mesej-mesej yang disampaikan tidak sama dengan apa yang pelajar fahami.


iv. Pemikiran visual membenarkan pelajar untuk meneroka maklumat atau mesej yang ingin disampaikan mengikut perspektif pemikiran masing-masing


v. Pengajar mampu meningkatkan daya kreativiti pelajar dengan memupuk pemikiran visual dengan menggalakkan dan membiasakan pelajar dengan paparan-paparan grafikal yang bersesuaian



c) Kemukakan contoh


Contohnya, sebelum pelajar memulakan sesuatu projek perisian komputer, pengajar akan menunjukkan contoh-contoh projek yang berjaya kepada para pelajar. Pengajar akan membuat demontrasi bagaimana menggunakan setiap satu contoh-contoh projek tersebut secara rambang. Melalui demontrasi contoh-contoh projek ini akan membantu pelajar untuk menyiapkn projek masing-masing.


Pelajar secara tidak sedar diajak untuk mengembangkan kreativiti yang ada di samping pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki. Pelajar akan memikirkan cara-cara yang sesuai untuk membangunkan projek tersebut, antara muka, membayangkan interaksi dan tindakan pengguna, reka bentuk dan sebagainya. Semua ini berlaku secara aktif dalam pemikiran setiap pelajar.



B. AKTIVITI 2: LITERASI VISUAL

a) Dapatkan tiga definisi literasi visual dari literatur


i) James Flood, Shirley Brice Heath, dan Diane Lapp. (1997), menakrifkan literasi visual adalah kebolehan atau kemahiran untuk mendapatkan pengertian daripada gambaran. Ia melibatkan satu set kemahiran daripada yang mudah (pengenalan mengenai sesuatu) hingga ke tafsiran yang sukar melibatkan konseptual, metaphora dan falsafah.


ii) Menurut Bolter (1998) dalam Xiuwen Wu & Mark Newman (2008), literasi visual melibatkan penggunaan peta, gambar, pandangan, foto, dan sebagainya bertujuan menggalakkan pembelajaran mengenai sesuatu perkara. Visual-visual ini yang bersumber daripada sumber pertama mahupun sumber sekunder.


iii) Heinich, Molenda, dan Russell (1994) dalam Norasikin Fabil & Zawawi Ismail (2005) mendefinisikan kemahiran literasi visual sebagai kebolehan yang dipelajari untuk menafsir mesej visual dengan tepat dan juga untuk membuat mesej-mesej seperti itu.


iv) Roblyer and Bennett (2001) dalam Alaa Sadik (2007) menjelaskan bahawa melalui literasi visual, pelajar akan mahir; menterjemah dan memahami maksud mesej daripada visual; berkomunikasi dengan lebih efisyen melalui pengaplikasian asas dan konsep reka bentuk visual; menghasilkan mesej-mesej dalam bentuk visual dengan menggunakan komputer dan teknologi-teknologi lain; dan menggunakan pemikiran visual untuk merumuskan penyelesaian bagi sesuatu masalah.



b) Kemukakan sintesis dari definisi-definisi berkenaan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran komputer.


Berdasarkan konteks pengajaran dan pembelajaran komputer, literasi visual boleh disintesiskan seperti berikut:


i. Literasi visual merupakan proses pembelajaran yang melibatkan objek-objek visual yang memberikan rangsangan kepada individu untuk meneroka maklumat-maklumat baru.


ii. Literasi visual memerlukan objek sama ada sumber pertama mahupun sumber sekunder sebagai subjek rujukan atau pencetus.


iii. Pengajar akan memilih objek atau visual yang bersesuaian untuk tatapan pelajar dan proses pemahaman mengenai visual tersebut diterapkan melalui .


iv. Pelajar membuat tafsiran dan pemahaman mengenai visual yang dipaparkan dan pengajar membimbing pelajar agar tafsiran dan pemahaman tersebut mengikut objektif pembelajaran.


v. Tafsiran dan pemahaman daripada literasi visual ini juga dipengaruhi pengalaman yang dilalui oleh pelajar.


vi. Pemahaman serta tafsiran ini akan diterjemahkan daripada berbentuk gambaran kepada bentuk perkataan atau lisan ataupun perbuatan.


vii. Literasi visual mendidik pelajar mengenai cara-cara untuk menterjemahkan sesuatu gambaran kepada bentuk-bentuk yang boleh di baca atau dalam bentuk grafik yang boleh difahami umum.


viii. Ia juga membolehkan pelajar untuk mencipta mesej-mesej tertentu melalui penghasilan visual yang bersesuaian dan mudah difahami umum.



c) Kemukakan contoh


Contohnya, pelajar diminta membangunkan sebuah grafik yang bersesuaian untuk menarik minat pengunjung ke Zoo Negara. Para pelajar akan dibekalkan maklumat yang secukupnya yang mengandungi bahan-bahan betulis, gambar, klip video, poster dan seumpamanya. Mereka juga dibenarkan untuk mendapatkan maklumat serta grafik-grafik sokongan secara bebas untuk membantu mereka membangunkan projek grafik tersebut.


Dalam projek itu, pelajar telah pun mempunyai pengetahuan yang memastikan mereka membangunkan visual atau grafik yang bermesej dan beretika. Kemahiran juga telah mereka perolehi dan juga boleh menambah kemahiran melalui tinjauan atau mempelajari secara kendiri. Pelajar akan menggunakan kemahiran visual untuk menterjemahkan keistimewaan dan keseronokan yang ada di zoo melalui pemerhatian ke atas gambar, grafik, klip video dan seumpamanya. Melalui visual yang mereka perolehi itu juga, pelajar akan cuba menyampaikan mesej yang berkesan mengenai keseronokan dan keistimewaan yang ada di zoo. Pelajar boleh mengimaginasikan keseronokan dan seterusnya menterjemahkan dalam bentuk mesej atau gambaran yang boleh difahami umum.


Penilaian ditentukan berdasarkan grafik yang menarik, mesej yang jelas, kreativiti dan mempunyai daya tarikan yang kuat serta mempunyai impak kepada pembaca atau sesiapa yang melihatnya.



C. AKTIVITI 3: PERBANDINGAN DAN PERKAITAN


a) Apakah perbezaan antara pemikiran visual dengan literasi visual


Perbezaan antara pemikiran visual dengan literasi adalah seperti berikut:


i. Pemikiran visual ialah satu proses pemahaman mesej yang disampaikan oleh visual atau grafik yang individu lihat, sedangkan literasi visual merupakan satu proses pembelajaran yang mengenai visual, kepentingan, mesej yang terkandung serta cara-cara menghasilkannya.


ii. Pemikiran visual hanya melihat proses yang berlaku dalam minda dan tidak semestinya diluahkan melalui sesuatu yang boleh dilihat, dibaca atau didengar, sedangkan literasi visual memberi fokus pada pembelajaran formal yang membimbing pelajar untuk memahami sesuatu visual, mesej serta kaedah untuk menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan dan juga menterjemahkan pemikiran visual kepada mesej yang boleh difahami.


iii. Pemikiran visual merupakan tafsiran sesuatu visual berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang tidak formal mahupun formal, sedangkan literasi visual membantu individu menterjemah sesuatu visual berdasarkan pengajaran yang diberikan serta proses menghasilkannya kepada bentuk yang boleh difahami umum.



b) Apakah persamaan antara permikiran visual dan literasi visual

i. Visual atau sesuatu berbentuk grafik menjadi fokus kepada subjek tafsiran


ii. Kedua-duanya melalui proses pemahaman mengenai mesej yang ingin disampaikan atau mendapatkan sesuatu maklumat daripada visual.


iii. Kedua-dua memerlukan pemikiran yang kreatif dan ditampung dengan pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki untuk membolehkan individu tersebut mendapat sesuatu ilmu atau pengetahuan.



c) Apakah perkaitan pemikiran visual dengan literasi visual



Perkaitan pemikiran visual dengan literasi visual adalah seperti berikut:


i. Sebelum menghasilkan sesuatu mesej (dalam konteks literasi visual), seseorang perlu menjalani proses pemahaman mengenai mesej yang terkandung dalam visual tersebut. Kemudian berdasarkan pemahaman tersebut, individu tersebut barulah dapat menterjemahkan visual yang didapati kepada bentuk yang mudah difahami umum.


ii. Pemikiran visual membantu individu untuk melihat sesuatu visual dari pelbagai perspektif dan disokong dengan pengalaman serta pengetahuan untuk menghasilkan sesuatu mesej atau ilmu.



d) Kemukakan contoh konteks pengajaran dan pembelajaran komputer


Untuk melihat persamaan, perbezaan dan perkaitan antara pemikiran visual dengan literasi visual, contoh dinyatakan seperti berikut:


Pelajar diberikan satu tugasan yang mana masing-masing perlu membuat tafsiran mesej yang ingin disampaikan oleh visual yang dipaparkan. Para pelajar diminta untuk membuatkan analisa serta menuliskan pendapat masing-masing mengenai visual yang dipaparkan dan seterusnya menghasilkan suatu bentuk paparan yang mudah difahami oleh semua.


Persamaan


Pelajar akan membuat pemerhatian dan memikirkan mengenai mesej yang ingin disampaikan oleh visual tersebut. Persamaan yang wujud di sini ialah, penggunaan visual dalam merangsang corak pemikiran pelajar yang terlibat. Berdasarkan pendapat masing-masing, pelajar akan memberikan tafsiran yang berbeza-beza berdasarkan visual yang sama. Pengajar akan membuat kesimpulan bahawa pentingnya visual yang sesuai dan mudah difahami agar membantu pelajar untuk membuat sesuatu visual yang boleh difahami oleh semua.


Perkaitan


Seterusnya para pelajar akan menjalani proses pemahaman dan proses ini merupakan satu proses pemikiran visual. Dalam proses ini, pelajar akan sedaya upaya untuk menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan daripada visual tersebut. Proses ini dipengaruhi pula dengan pengalaman dan pengetahuan yang mereka miliki. Seterusnya, mereka akan memahami mesej yang ingin disampaikan berdasarkan litersi visual yang membolehkan mereka mentafsir secara tepat atau lebih matang mengenai visual tersebut.


Perbezaan


Pemerhatian dan pemikiran yang berlaku untuk mentafsir mesej visual dan seterusnya pelajar akan menggunkan kemahiran literasi visual untuk menterjemahkan mesej kepada satu bentuk yang difahami dengan menggunakan cara-cara dan teknik yang sesuai untuk menghasilkannya. Pemikiran hanya berlaku setakat di minda tetapi penghasilan mesej baru berdasarkan pemahaman, kemahiran serta pengetahuan yang ada melibatkan proses literasi visual. Pelajar akan mencipta visual atau paparan yang membolehkan orang lain memahami mesej yang ingin disampaikan olehnya.



A. AKTIVITI 4: LITERASI MEDIA


a) Dapatkan definisi literasi media dari literatur


Elizabeth Thoman (1995) menerangkan literasi media mepunyai tiga tahap. Tahap pertama ialah peri pentingnya kesedaran untuk mengurus keperluan media dalam seharian. Pada tahap kedua pula ialah pembelajaran kemahiran khusus untuk membolehkan individu memandang sesuatu visual dari sudut yang kritikal. Dalam tahap ini, individu tersebut akan belajar menganalisa, menyelidik dan perkaitannya. Manakala tahap ketiga pula lebih kepada penghasilan serta kaedah-kaedah yang bersesuaian dan memastikan mesej yang ingin disampaikan adalah tepat dan jelas.


European Commision (2010) memberikan definisi literasi media sebagai suatu kebolehan untuk mencapai sesuatu media, memahami dan menilai secara kritikal daripada pelbagai aspek media dan kandungannya serta mencipta komunikasi dalam pelbagai konteks. Literasi media berhubung pada semua media termasuklah televisyen dan filem, radio dan rakaman muzik, media cetak, internet dan lain-lain komunikasi digital yang lain. Ia merupakan prinsip asas yang bukan hanya untuk generasi muda malah untuk golongan dewasa dan tua, untuk ibu bapa, guru-guru dan profesional media. Suruhanjaya ini juga mendakwa literasi media sebagai satu faktor penting untuk warga yang aktif dalam komuniti maklumat kini.


David Considine (1995) pula memberikan tafsiran mudah iaitu kebolehan untuk mendapatkan bahan-bahan media, menganalisa, menilai dan menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk termasuk bercetak atau pun bukan bercetak.



b) Huraikan dengan contoh dalam konteks pendidikan komputer

Literasi media merupakan satu bentuk pembelajaran formal mengenai media atau bahan-bahan yang bersifat umum yang menjadi paparan dan pembacaan masyarakat umum. Media cetak mahupun media elektronik menjadi sumber rujukan dalam proses pembelajaran. Sumber-sumber media akan menjadi subjek kepada kaedah-kaedah terjemahan atau tafsiran untuk mendapatkan sesuatu maklumat atau pengetahuan serta mesej yang ingin disampaikan oleh media tersebut


Selain daripada proses pembelajaran pemahaman media, literasi media juga membimbing pelajar untuk mencipta mesej melalui media. Pelajar akan mempelajari teknologi-teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan media seperti komputer, fotografi, penulisan dan sebagainya. Pelajar akan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari mahupun yang sedia ada dan seterusnya menggunakan kreativiti daam menghasilkan sesuatu mesej dalam bentuk media yang diterima umum. Pelajar dititik beratkan untuk membangunkan mesej-mesej yang positif dalam penghasilan sesuatu media.



A. AKTIVITI 5: LITERASI MULTIMEDIA

a) Dapatkan definisi literasi media dari literatur


Mark Warschauer. (2006) mentafsirkan literasi multimedia ialah suatu kebolehan untk menterjemah dan mencipta sesuatu produk dengan menggunakan sumber-sumber digital termasuk teks, typografi, imej, bunyi dan video.


Menurut Camargo C. F. (2000), pada peringkat awal, literasi multimedia membolehkan individu untuk membina maksud daripada pendedahan elemen-elemen teknologi baru, rangkaian komunikasi baru dan pelbagai sistem simbol. Ia bukan sekadar satu proses mempelajari cara-cara memahami dan mencipta sesuatu hiperdokumen malah ia melibatkan lain-lain literasi (alphabetics, audiovisual dan komputer) yang diperlukan untuk memproses dan mempergunakan komponen-komponen multimedia iaitu teks, bunyi dan imej dengan penuh makna. Menurut beliau lagi, literasi multimedia bukanlah proses menambah huruf ataupun audiovisual malah ia menggabungkannya untuk menghasilkan suatu interaktiviti.


Mayer’s (2000) dalam Monica Bulger (2007) mendefinisikan literasi multimedia menjelaskan mengenai proses ‘sense-making’ dalam pemilihan perkataan dan imej.


Takrifan oleh Warschauer dalam bukunya “Partners in Literacy: schools and libraries building communities through technology” dalam Sondra Cuban & Larry Cuban (2007), literasi multimedia merupakan set kemahiran yang diperlukan untuk menterjemah atau memahami dan mencipta mesej (produk) yang menggunakan imej, photograf, video, animasi, muzik, bunyi, dan ‘typography’.



b) Huraikan dengan contoh dalam konteks pendidikan komputer


Dalam literasi multimedia, pelajar akan diajar menggunakan komputer yang merupakan teknologi yang terpenting dalam literasi multimedia. Pelajar akan diajar memperkemaskan kemahiran pengkomputer dan juga belajar menggunakan perisian-perisian khas untuk tujuan pembangunan bahan multimedia.


Pelajar juga diajar mengenai elemen-elemen penting yang terdapat dalam multimedia, iaitu terdiri daripada teks, video, audio, animasi dan grafik. Setiap satunya mempunyai impak tersendiri dalam penghasilan bahan multimedia. Pelajar juga diajar mengenai peri pentingnya kombinasi elemen-elemen ini dan mengasah kreativiti palajar untuk menggabung elemen-elemen tersebut mejadi satu bentuk bahan multimedia.


Pelajar juga diajar cara-cara menyampaikan mesej yang jelas yang dapat diterjemahkan dalam bentuk paparan multimedia. Mesej yang ingin disampaikan selari dengan kombinasi elemen-elemen multimedia kerana setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Semuanya bergantung kepada pelajar untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkannya.


Pelajar akan menggunakan kemudahan komputer dan teknologi-teknologi berkaitan untuk membangunkan bahan multimedia berdasarkan apa yang mereka inginkan serta bagaimana ia akan dipersembahkan.


Penilaian oleh pengajar adalah bergantung kepada kejelasan mesej yang ingin disampaikan dan juga kreativiti.



A. AKTIVITI 5: LITERASI MAKLUMAT


a) Dapatkan definisi literasi maklumat dari literatur


Jeremy Shapiro & Shelley Hughes (1996) mendefinisikan literasi maklumat sebagai suatu seni yang terhasil daripada pengetahuan penggunaan komputer dan cara mendapatkan maklumat, yang memberikan kesan kritikal ke atas maklumat itu sendiri.


Menurut Mark Warschauer. (2006), literasi maklumat ialah suatu kebolehan khusus untuk mengetahui keperluan maklumat, mendapatkan maklumat tersebut, mengasimilasi maklumat dan sesuaikannya untuk tatapan pengguna, memahami etika dan isu-isu perundangan yang terlibat.


American Library Association (2010) mendefinisikan literasi maklumat sebagai suatu set kebolehan yang diperlukan oleh seseorang untuk mengenalpasti bila maklumat diperlukan dan miliki kebolehan untuk mendapatkannya, menilainya dan menggunakannya dengan efektif.



b) Huraikan dengan contoh dalam konteks pendidikan komputer


Dalam literasi maklumat, para pelajar akan didedahkan kepada kepentingan maklumat dalam kehidupan seharian. Pelajar akan memahami konsep-konsep mengenai maklumat dan maklumat yang diperolehi akan ditapis serta diterjemahkan mengikut keperluan bagi sesuatu projek atau tugasan. Mereka akan secara langsung akan terdidik untuk mengetahui bilakah sesuatu maklumat diperlukan.


Pelajar turut diajar mengenai penggunaan komputer dan cara-cara untuk mendapatkan serta menghasilkan maklumat tertentu. Pelajar juga mempelajari kaedah-kaedah mendapatkan maklumat dengan pelbagai cara antara melalui bahan bercetak, bahan eletronik mahupun bahan berbntuk lisan. Pelajar akan mempergunakan pengetahuan yang ada untuk membolehkan mereka mendapatkan maklumat yang benar-benar diperlukan dengan lebih efektif.


Kemudian pelajar akan menyelidik dan menganalisa maklumat yang diperolehi. Tidak semua maklumat yang mereka peroleh benar-benar membantu mereka untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan malah ada sebahagian maklumat memerlukan pemahaman dan terjemahan yang jelas bagi membolehkan mereka menggunakan maklumat tersebut. Maklumat yang diperolehi kemudiannaya akan diolah supaya menjadi maklumat yang baru sepertimana yang mereka inginkan.


Pengolahan maklumat ini memerlukan pelajar menjadikannya dalam bentuk yang boleh dibaca atau boleh ditatap. Pelajar akan menggunakan kemahiran komputer dan perisian yang dipelajari untuk menyiapkan maklumat dalam bentuk yang diingini dan boleh ditatap. Mereka akan menyiapkan dan hasil kerja akan dinilai oleh pengajar berdasarkan objektif kelas pada hari tersebut. Sebagai contoh penghasilan buletin persatuan



A. AKTIVITI 6: PERBANDINGAN DAN PERKAITAN


a) Apakah perbezaan antara literasi visual, media, multimedia dan maklumat


i. Literasi visual – pembelajaran mengenai pemahaman mesej yang disampaikan oleh sesuatu visual dan cara-cara menghasilkan visual yang bermesej


ii. Literasi media – pembelajaran mengenai pemahaman mesej yang disampaikan oleh sesuatu media sama ada media cetak mahupun media elektronik dan cara-cara menghasilkan media bagi menyampikan mesej tertentu.


iii. Literasi multimedia – pembelajaran kemahiran untuk menghasilkan mesej dalam bentuk paparan umum yang merupakan gabungan teks, video, bunyi, animasi dan grafik dengan menggunakan teknologi pengkomputeran


iv. Literasi maklumat – pembelajaran mengenai kepentingan maklumat, cara-cara mendapatkan maklumat, mengenalpasti keperluan maklumat, memahami etika-etika dan perundangan, mengolah maklumat menjadi bentuk yang diperlukan dan cara-cara memproses maklumat menjadi seperti yang dingini.



b) Apakah persamaan antara literasi visual, media, multimedia dan maklumat


Persamaan antara literasi visual ialah:
i. Menggunakan pemikiran visual untuk menjana kreativiti


ii. Menggunakan teknologi pengkomputeran dan lain-lain teknologi yang berkaitan yang hampir sama dalam penghasilan sesuatu karya.


iii. Kesemuanya merupakan satu bentuk pembelajaran formal.

iv. Penggunaan visual atau bahan yang boleh dilihat untuk membantu mendapatkan sesuatu maklumat atau mesej.



v. Memerlukan kreativiti pelajar untuk menghasilkan sesuatu karya dan setiap karya adalah berbeza berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki.


c) Apakah perkaitan pemikiran visual dengan literasi media, multimedia, maklumat


i. Pemikiran visual membantu pelajar untuk membuat tasiran atau terjemahan yang sesuai mengenai sesuatu bahan yang telah mereka dapati.


ii. Membolehkan pelajar menjana idea dan kreativiti untuk mengolah sesuatu bahan menjadi kepada bahan yang lebih menarik dan bermesej.



d) Kemukakan contoh konteks pengajaran dan pembelajaran komputer


Contohnya penghasilan bahan kempen sayangi sungai. Pelajar diberikan kebebasan untuk mencari bahan dengan dibimbing oleh pengajar.


Proses pemahaman dan pencarian bahan


- Pemikiran visual dalam semua literasi
Pemikiran visual membanu pelajar untuk memahami konteks sebenar permasalahan tugsan yang diberikan. Pelajar akan menterjemah apakah yang dimaksudkan kempen, konsep sayangi sungai, mengapa perlu sayangi sungai, perkaitan dengan pencemaran, langkah-langkah menjaga sungai dan sebagainya. Pelajar akan melalui proses pemahaman situasi dan penyelesaian. Semua ini bergantung kepada pengetahuan yang pelajar miliki


- Pencarian dalam semua literasi
Semua literasi menggunakan kaedah yang hampir sama dalam memperoleh bahan-bahan yang diperlukan. Mereka menggunakan teknologi yang hampir sama untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Pelajar akan menyelidik dan menganalisa bahan-bahan yang mereka perolehi untuk mendapatkan maklumat, mesej dan juga gambaran
Penghasilan mesej


- Literasi visual
Pelajar akan menyampaikan mesej kempen dalam bentuk paparan visual seperti poster, gambar atau lukisan. Visual yang dihasilkan perlulah dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua


- Literasi media
Pelajar akan menyampaikan mesej kempen dalam bentuk paparan media seperti media cetak (buletin, akhbar) dan media elektronik (iklan, klip video kempn).


- Literasi multimedia
Pelajar akan menyampaikan mesej kempen dalam bentuk paparan beranimasi yang menggabungkan teks, video, bunyi, grafik dan animasi seperti kiosk, montaj, persembahan multimedia dan sebagainya yang mana mudah difahami oleh semua


- Literasi maklumat
Pelajar akan menyampaikan mesej kempen dalam bentuk olahan maklumat yang boleh menjadi rujukan orang ramai dalam mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai kempen tersebut seperti jurnal, catatan, laporan penemuan dan sebagainya.

2 comments:

aDieaiLa said...

Rujukan yang anda sertakan anda dapat melalui internet atau melalui buku?

Unknown said...

Salam. Apakah Literasi Visual ini sama dengan konsep Pemikiran Literasi?

Post a Comment